Saturday, March 26, 2011

Video Terbaru yang paling menggemparkan 1MALAYSIA

Video Terbaru yang paling menggemparkan 1MALAYSIA

Thursday, March 10, 2011

Premium insurans tak masuk akal

Premium insurans tak masuk akal

KUALA LUMPUR 10 Mac - Penyokong kerajaan dan pembangkang hari ini 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.

Premium tambahan sehingga 150 peratus 'sakitkan' pengguna

KUALA LUMPUR 10 Mac - Selain kadar premium insurans pihak ketiga yang perlu dibayar, pemilik kenderaan kini terpaksa menanggung beban berikutan kadar premium tambahan (loading) 'menyakitkan' yang dikenakan oleh syarikat penyedia insurans.

Manakan tidak, kadar premium tambahan itu boleh mencecah sehingga 150 peratus daripada caruman premium biasa pengguna dan lebih tidak adil, ia dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sumber Utusan Malaysia memberitahu, akibat 'kebenaran' bank induk itu, syarikat insurans bebas meletakkan kadar premium yang berbeza tetapi dihadkan sehingga 150 peratus.

Sebagai contoh katanya, seorang pengguna yang membayar premium insurans pihak ketiga pada kadar RM72 setahun sebenarnya perlu membayar sehingga RM180 setahun akibat beban tambahan tersebut.

"Itu bagi kereta lama berusia 15 tahun yang berkapasiti rendah seperti di bawah 1,000 cc. Bagi 1,500 cc ke atas pula ia mencecah sehingga RM337.50 setahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang gesaan beberapa ahli Parlimen yang meminta supaya Kementerian Kewangan dan BNM mengkaji semula kadar premium insurans pihak ketiga ke atas pengguna yang disifatkan terlalu tinggi sejak dua tahun lalu.

Sumber itu menambah, pemilik kenderaan berusia 15 tahun ke atas pula berhadapan masalah lain apabila syarikat insurans tidak membenarkan mereka mengambil premium insurans pihak ketiga.

Katanya, pemilik berkenaan perlu merujuk kepada 'Malaysian Motor Insurance Pool' (MMIP) bagi mendapatkan perlindungan insurans.

"Selain kadar berbeza yang ditetapkan MMIP, kenderaan yang berusia lebih 15 tahun itu juga perlu diperiksa oleh Puspakom Sdn. Bhd. dan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM60, jadi semuanya duit," jelasnya.

sumber: utusan