Saturday, January 31, 2009

PALESTIN

Tak Dapat Buat Semua, Jangan Tinggal Semua

“Setiap ringgit yang digunakan untuk membeli barangn AS akhirnya menjadi peluru untuk menembak saudara kita dan kanak-kanak di Palestin... Membeli barangan mereka samalah seperti menyokong kezaliman, penindasan dan serangan mereka”. - Sheikh Yusuf Al-Qaradawi (Ulamaq Tersohor)

Pelbagai pendapat dan suara-suara sumbang yang kita dengar dari setinggi-tinggi pemimpin hinggalah serendah-rendah rakyat marhaen berbual di pejabat, kedai-kedai mamak, bersembang di pasar, mesyuarat tingkap dan pagar apabila disarankan untuk “BOIKOT PRODUK ISRAEL”.

Kita harus ingat tiap sen wang yang kita hulurkan untuk membeli produk yang disenaraikan umpama menyerahkan wang atau sebutir peluru ke tangan Yahudi untuk membunuh saudara kita di Palestin, banyak orang kita dengar berkata “Mana boleh kita boikot nanti rakyat kita sendiri yang kehilangan kerja”, kata-kata beginilah yang amat bahaya dan nyata orang begini pergantungan serta cinta terhadap dunianya amat kuat, sekurang-kurangnya katakanlah “InsyaAllah kita cuba apa yang termampu” atau “Tak dapat buat semua, Jangan tinggal semua” lagipun berlambak di pasaran jenama-jenama lain bagi sesuatu produk.

Saturday, January 24, 2009

Aida al-Qaddumi

Perkahwinan demi dendam buat Israel
Wanita Palestin ikrar lahirkan ramai pejuang

BANDAR GAZA: Tiada sebarang majlis keraian atau sambutan apabila Aida al-Qaddumi yang berusia 22 tahun berkahwin minggu ini. Malah, beliau langsung tidak menunjukkan rasa kesal sebaliknya berkata, bahawa perkahwinan beliau adalah semata-mata untuk menambahkan bilangan 'pejuang' dan hanya mahukan beliau mati sebagai seorang 'syahid' di Israel. Tiga minggu serangan maut Israel terhadap Semenanjung Gaza memaksa perkahwinan beliau yang sepatutnya berlangsung 7 Januari lalu ditangguhkan, tetapi tidak sedikitpun mengubah keinginan itu.

Pengantin perempuan itu, sebaliknya tetap ke sebuah salun kecantikan di daerah tengah bandar, Rimal untuk dandanan rambut dan solekan sempena hari bersejarahnya Khamis lalu. Manakala, pengantin lelaki, Fadel al-Ghul, yang juga adik Menteri Kehakiman Hamas Faraj menjemput beliau beberapa jam selepas itu. Kedua mereka bersetuju sebagai menghormati kematian lebih 1,300 penduduk Palestin di Gaza untuk tidak mengadakan sebarang acara keraian mengikut tradisi mereka sempena perkahwinan kedua pasangan itu.

Selain angka kematian yang dahsyat itu, dewan perkahwinan yang sepatutnya disewa untuk majlis keraian pula musnah akibat bedilan bom Israel. Di salun, Aida ditemani rakannya yang bertudung litup dari kepada hingga hujung kaki yang hanya duduk di satu sudut. Pengantin perempuan mengenakan gaun labuh dihiasi labuci perak dengan wajahnya ditutup. Dengan suara perlahan, Aida menyatakan rasa gembira untuk berkahwin, tetapi sedih dengan kehancuran dan kematian yang berlaku. "Saya kehilangan abang dan beberapa sepupu. Kebanyakan keluarga kehilangan anak," katanya.
Kuarters Shujaiya yang menjadi tempat tinggal beliau adalah kubu kuat Hamas yang menjadi sasaran utama serangan tentera Israel. Berpuluh-puluh penduduk kebanyakannya adalah orang awam terbunuh, manakala puluhan rumah musnah. Mengikut adat tempatan, pasangan baru itu akan tinggal di rumah keluarga suami di daerah Nasser. "Ketika serangan, beberapa bangunan di sekeliling kami dibom. Syukur kepada Tuhan, rumah kami tidak kena bom. Kami tinggal dalam ketakutan setiap hari," kata Aida.

Ketika ditanya impian kehidupan beliau, Aida hanya berkata: "Kehidupan saya di tangan Tuhan." Bagaimanapun setiap kali menyebut Israel, wanita itu meninggikan suaranya. "Mereka adalah pembohong. Tiada senjata di masjid atau sekolah, tetapi mereka masih mengebom di sana. Mereka membunuh kanak-kanak. Seluruh dunia melihat gambar, tetapi langsung tidak berbuat apa-apa," katanya. Israel mendakwa, pejuang Hamas bersembunyi di kalangan penduduk awam untuk melancarkan roket dan menyimpan senjata di masjid. Aida berkata, anak beliau akan dibesarkan untuk menghormati Islam dan diajar dengan cara berkenaan supaya dapat memasuki syurga dengan mudah. "Saya mahukan anak saya menjadi pejuang di jalan Allah. Jika saya diberi peluang, saya akan mati ketika satu operasi di Israel," katanya.

Fadel, 35, tiba tidak lama selepas itu memakai sepasang sut gelap. Beliau bekerja selama beberapa tahun dengan sebuah pertubuhan kebajikan utama yang ditubuhkan oleh pengasas Hamas, Sheikh Ahmed Yassin pada 1970-an. Menentang Israel adalah satu tugas, kata Fadel. "Kami tinggal di tanah kami, tanah yang dipenuhi pejuang. Mereka mahu membunuh kami tetapi kami akan bunuh mereka terlebih dulu. "Ketika operasi mereka akan memusnahkan bangunan, masjid dan rumah tetapi mereka tidak akan dapat memusnahkan kumpulan yang membawa penentangan. Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat menyenaraikan Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas dan enggan berunding dengan kumpulan yang memenangi pilihan raya Februari 2006 mengalahkan kumpulan Fatah yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas.

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090124223927/Article/index_html

Friday, January 23, 2009

PANDANG BELAKANG

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Pengenalan tentang blog ini yang saya namakan PANDANG BELAKANG, nama ini dipilih kerana kita sebenarnya perlu muhasabah diri dengan selalu memikirkan kembali apa sahaja perkara yang telah lalu, jadi apa yang ada di hadapan kita nanti akan lebih mudah kita hadapi dan jangkakan. Sejarah perlu dijadikan panduan untuk terus kita hadapi kehidupan mendatang dengan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan lalu samada diri sendiri maupun orang lain, begitu juga kejayaan dan kemenangan yang dikecapi dalam hidup. Bagi orang-orang yang beriman harus diingat, tiap apa yang kita lakukan akan diperhatikan oleh Allah dan banyakkanlah bersyukur dengan limpah kurniaNya yang tidak terhingga.

Blog ini cuma sebagai tazkirah, memo buat diri sendiri serta apa-apa peristiwa yang berlaku juga yang dapat dikongsikan dengan pelayar web yang singgah tidak kira apasaja tajuk, serta topik samada agama, politik, sukan, perkembangan semasa dan pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling kita kecuali perkara-perkara yang terlalu sensitif, berunsur lucah serta yang melampaui batas.

Di sini juga saya bersedia menerima teguran walaupun banyak orang sukar menerima, tidak faham teguran. Kadang-kadang teguran keras boleh menyedarkan kita, hati dan fikiran kita akan tersentak dan tersedar dari perbuatan yang kita lakukan berbanding teguran serta nasihat yang berulang kali. Di dalam Al-Quran cukup banyak ayat-ayat yang berupa ancaman keras pada orang-orang yang melampaui batas, Allah s.w.t. juga kadang-kadang menurunkan amaran keras berupa bala buat manusia supaya meneliti kembali segala perilaku mereka lalu kembali semula ke jalanNya.

Tapi budaya sentimental bangsa itu sendiri selalunya kalau nak tegur perlu beradap, berlapik, ampu sini-sana, puji melangit serta telah menjadi darah daging dan melekat menjadi budaya bangsa, akhirnya apa yang hendak disampaikan tidak dapat menepati sasaran. Kerana apa? apalagi kalau tidak orang yang perlu ditegur itu dah berada di awangan, kaki pun dah tak berpijak di bumi setelah dipuji-puja. Lidah selalu menyebut "Alhamdulillah" (Segala Puji-Pujian Hanya Milik Allah) tetapi milik Allah s.w.t. cuba dijadikan milik peribadi sendiri.

وَلاَ تَلْبِسُواْ الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُواْ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

maksud ayat Al-Quran: Surah Al-Baqarah ayat 42:

"Dan janganlah kamu adukkan yang haq dengan yang bathil dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu, sedangkan kamu mengetahuinya."

وَاتَّقُواْ يَوْماً لاَّ تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئاً وَلاَ يُقْبَلُ مِنْهَا شَفَاعَةٌ وَلاَ يُؤْخَذُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلاَ هُمْ يُنصَرُونَ

maksud ayat Al-Quran: Surah Al-Baqarah ayat 48:

"Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat, yang pada hari itu) sesaorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun, dan (begitu pula) tidak diterima syafa'at dan tebusan daripadanya, dan tidaklah mereka akan ditolong."