Friday, August 31, 2012

Penghuni Syurga

Aku juga ingin menjadi Penghuni Syurga

Dalam suatu majlis di masjid nabi, para sahabat ingin mengetahui dari kalangan kaum Anshar siapakah orangnya yang menjadi penghuni syurga setelah mereka mengetahui sepuluh orang dari kalangan Muhajirin yang telah dijanjikan syurga walau mereka ketika itu masih hidup.

Rasulullah bersabda, "Sebentar lagi akan muncul di hadapan kalian dari pintu masjid seseorang yang termasuk penghuni surga." Benar saja, tidak lama kemudian muncullah seseorang dari kalangan Anshar yang janggutnya menetiskan titik-titik air wuduk. Pada keesokan harinya sahabat bertanya lagi, Rasulullah kembali bersabda seperti itu lagi, dan tak lama kemudian orang itu juga yang muncul dengan keadaan yang sama. Demikian pula pada hari ketiga, Nabi s.a.w. mengatakan begitu, dan Abdullah bin Amr bin Ash menjadi sangat ingin tahu, apakah amalan orang tersebut sehingga Rasul Yang Agung mengatakannya sampai tiga kali selama tiga hari berturut-turut.

Setelah Rasulullah s.a.w. beredar dari majlis, Abdullah bin Amr bin Ash mengekori penduduk Madinah tersebut. Setelah tiba di rumahnya, Abdullah bin Amr berkata padanya, "Aku sebenarnya ada masalah dengan ayahku sehingga berjanji tidak pulang ke rumah selama tiga hari. Jika engkau membenarkan, aku ingin menginap di rumahmu". Orang itu termenung sejenak dan berkata, "Boleh". maka, menginaplah Abdullah di rumah orang Anshar itu selama tiga hari. Namun, selama itu pula Abdullah tidak pernah melihat orang itu mendirikan solat malam walaupun sedikit. Hanya, setiap kali bangun dari tidurnya, dia membalikkan badan sambil menyebut asma Allah dan takbir, sehinggalah bangun semula untuk mendirikan solat Subuh.

Selama tiga hari itu, Abdullah tidak pernah mendengar perkataan dari pemuda itu kecuali yang baik-baik sahaja. Pada hari ketiga, kerana terlalu ingin tahu, Abdullah berkata pada orang itu, "Wahai hamba Allah, aku sebetulnya tidak ada masalah dengan ayahku. Akan tetapi masalahnya, aku mendengar Rasulullah s.a.w. mengatakan selama tiga hari bahwa sebentar lagi akan mucul di hadapan kalian seseorang yang termasuk penghuni syurga, dan yang muncul adalah engkau. Itu yang membuatku menginap di rumahmu serta ingin melihat amalanmu. Ternyata aku tidak melihat dirimu mengerjakan amal orang besar."

Orang itu diam saja. Namun, ketika Abdullah hendak pergi, orang itu memanggilnya seraya berkata, "Aku juga tidak melihat sesuatu yang berarti pada diriku. Hanya, di dalam hatiku tidak ada rasa dengki dan iri hati terhadap seorang pun dari kaum Muslim karena Allah memberinya suatu kebaikan." Dan sebelum tidur aku memohon doa kepada Allah “Ya Allah ampunilah segala dosaku padaMu dan semoga sekiranya ada dosaku pada sesiapa sahaja di muka bumi ini mereka memaafkan kesalahanku, juga aku maafkan sesiapa sahaja yang membuat kesilapan terhadapku.”
Abdullah pun berkata, "Itulah sebabnya engkau mendapatkan kedudukan tertinggi seperti yang disabdakan Rasulullah." Orang yang dimaksud Rasulullah Shallahu 'Alaihi Wa Sallam sebagai penghuni surga itu adalah Sa'ad bin Ubadah.

Antara pengajarannya:-
Kisah ini amat banyak dapat menukarkan sikap mazmumah penulis seperti panas baran, pendendam kepada sifat-sifat mahmudah apabila pertama kali penulis mendengarnya dalam ceramah disatu masjid di Ipoh ( credit: Masjid Al-Ittihadiah Kg. Tengku Hussain) oleh seorang ustaz dan beliau telahpun menemui Allah beberapa tahun lepas, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya... InsyaAllah. Aku juga ingin menjadi penghuni Syurga, dengan mencontohi akhlak serta amalan Sa'ad bin Ubadah.