Thursday, March 10, 2011

Premium insurans tak masuk akal

Premium insurans tak masuk akal

KUALA LUMPUR 10 Mac - Penyokong kerajaan dan pembangkang hari ini 'bersatu' menyelar syarikat-syarikat insurans kerana mengenakan premium yang tidak masuk akal terhadap kenderaan lama berusia lebih 10 tahun dan insurans pihak ketiga sejak dua tahun lalu.

Sambil menyifatkan dua langkah itu sebagai tidak munasabah, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) berkata, peraturan baru tersebut telah menyusahkan rakyat terutama penduduk di luar bandar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mengkaji semula kadar dikenakan itu sejak dua tahun lalu kerana jelas membebankan rakyat ekoran harga premium insurans yang terlalu tinggi.

''Ini isu serius. Oleh itu Kementerian Kewangan dan BNM perlu melihat masalah ini kerana ia tidak memberi keadilan kepada rakyat di kampung-kampung. Kebanyakan kenderaan mereka adalah kenderaan lama. Peraturan ini langsung tidak munasabah.

''Munasabah ke premium insurans kereta lama lebih tinggi daripada kereta baru. Begitu juga dengan pembelian insurans pihak ketiga, mengapa kadarnya terlalu tinggi?'' katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Isu mengenakan premium insurans pihak ketiga yang terlalu tinggi pernah dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat sebelum ini.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) ketika mencelah berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji semula operasi syarikat-syarikat insurans kerana perjalanan perniagaan mereka adalah secara menipu.

''Perniagaan yang banyak menipu rakyat ialah perniagaan insurans. Berlaku sahaja kes kemalangan berpuluh tahun baru selesai. Saya minta satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau operasi mereka kerana mereka ini adalah penipu paling besar di negara ini," katanya.

Mohamed dalam pada itu turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu syarikat insurans yang baru sebagai alternatif bagi syarikat insurans sedia ada.

''Kalau masalah ini tidak selesai, apa kata Kementerian Kewangan mewujudkan syarikat insurans baru yang boleh menjual insurans dengan harga berpatutan. Namakan sahaja insurans ini, insurans 1Malaysia. Jangan terima lagi syarikat-syarikat insurans yang sedia ada sekarang," ujarnya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee ketika mencelah telah meminta isu yang ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Sri Gading itu meliputi pembelian insurans hayat.

Chong Chieng Jen (DAP-Kuching) di dalam perbahasannya juga bersetuju supaya kadar premium insurans pihak ketiga diturunkan bagi meringankan beban rakyat.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bagaimana syarikat-syarikat insurans ketika ini memaksa pelanggan membeli polisi insurans kemalangan peribadi sebelum dikeluarkan polisi insurans pihak ketiga walaupun kerajaan tidak membenarkan ia berlaku.

''Itu belum dikira caj tambahan (loading) yang turut dikenakan kepada pelanggan. Apabila dicampur kedua-duanya dan ditambahkan dengan bayaran premium insurans pihak ketiga sudah tentu harganya tinggi dan membebankan.

''Walaupun Kementerian Kewangan sudah kata tidak ada syarikat yang boleh paksa pemilik kenderaan untuk membeli insurans tambahan ini, tetapi ini masih diamalkan oleh semua syarikat insurans di negara ini," katanya.

Akibatnya beliau berkata, harga premium insurans pihak ketiga yang dahulu dibayar sekitar RM70 sehingga RM80 tetapi sekarang harganya antara RM100 hingga RM200.

''Bank Negara ini butakah, takkan tidak tahu langsung, ini hakikat yang memang berleluasa? Mengapa kerajaan tidak ada penyelesaian sebaliknya terus membenarkan syarikat insurans mengeksploitasi pelanggan mereka," katanya.

Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) pula berpendapat operasi syarikat trak penunda juga harus dipantau kerana ia menyumbang kepada peningkatan kadar premium insurans yang dijual kepada pemilik kenderaan, termasuk caj tambahan.

Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pula mempersoalkan kuasa Bank Negara dalam mengawal syarikat-syarikat berkenaan.

Meskipun katanya, telah ada arahan supaya syarikat-syarikat insurans tidak boleh memaksa pemilik kenderaan membeli pelindungan insurans tambahan namun perkara itu masih berleluasa.

Premium tambahan sehingga 150 peratus 'sakitkan' pengguna

KUALA LUMPUR 10 Mac - Selain kadar premium insurans pihak ketiga yang perlu dibayar, pemilik kenderaan kini terpaksa menanggung beban berikutan kadar premium tambahan (loading) 'menyakitkan' yang dikenakan oleh syarikat penyedia insurans.

Manakan tidak, kadar premium tambahan itu boleh mencecah sehingga 150 peratus daripada caruman premium biasa pengguna dan lebih tidak adil, ia dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Sumber Utusan Malaysia memberitahu, akibat 'kebenaran' bank induk itu, syarikat insurans bebas meletakkan kadar premium yang berbeza tetapi dihadkan sehingga 150 peratus.

Sebagai contoh katanya, seorang pengguna yang membayar premium insurans pihak ketiga pada kadar RM72 setahun sebenarnya perlu membayar sehingga RM180 setahun akibat beban tambahan tersebut.

"Itu bagi kereta lama berusia 15 tahun yang berkapasiti rendah seperti di bawah 1,000 cc. Bagi 1,500 cc ke atas pula ia mencecah sehingga RM337.50 setahun," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang gesaan beberapa ahli Parlimen yang meminta supaya Kementerian Kewangan dan BNM mengkaji semula kadar premium insurans pihak ketiga ke atas pengguna yang disifatkan terlalu tinggi sejak dua tahun lalu.

Sumber itu menambah, pemilik kenderaan berusia 15 tahun ke atas pula berhadapan masalah lain apabila syarikat insurans tidak membenarkan mereka mengambil premium insurans pihak ketiga.

Katanya, pemilik berkenaan perlu merujuk kepada 'Malaysian Motor Insurance Pool' (MMIP) bagi mendapatkan perlindungan insurans.

"Selain kadar berbeza yang ditetapkan MMIP, kenderaan yang berusia lebih 15 tahun itu juga perlu diperiksa oleh Puspakom Sdn. Bhd. dan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM60, jadi semuanya duit," jelasnya.

sumber: utusan

Saturday, February 12, 2011

HADIS 40

Hadis 40 Imam An Nawawi


Muaturun Hadis 40 Imam An Nawawi dalam bentuk eBook helian buku digital dan lebih menarik, anda boleh muaturunnya di 4shared dengan klik image atau klik Hadis 40 Imam An Nawawi yang telah saya kompreskan supaya mudah dimuaturun sedangkan saiz asal lebih dari 7MB.

Wednesday, February 2, 2011

JAWAPAN TUAN GURU


Assalamualaikum wbt.,

Agak lama aku dah tak update blog ni walaupun pelbagai isu berbangkit tak henti-henti, tetapi aku terpanggil untuk tulis sikit tentang 'Islam nasionalis'.

Alhamdulillah... aku memang tertunggu-tunggu jawapan dari Tuan Guru untuk menangkis serangan dari orang yang sangat suka bercakap, di akhir tulisan Tuan Guru ada catatkan "Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)"

Saya juga akan menjadi saksi di depan Rab bahawa Tuan Guru telah menyampaikannya kepada puak-puak itu... TAKBIRRRR!!!

KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam.

"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."

Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.

"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.

Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.

Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.

Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.

Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?

Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.

Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.

Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?

Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?

Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.

Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.

Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.

Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.

Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.

Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011

sumber: Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz
Dr M: Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis

Monday, July 26, 2010

Tenang Sebentar

Lama dah aku tak Update Blog ni... Cool sikit dengan sungai ni :)

Saturday, February 6, 2010

Ingat Kembali

Assalamualaikum wbt.,

Hari ini genaplah satu tahun kerajaan PAKATAN RAKYAT negeri Perak dijatuhkan dan dirampas kuasanya, rakyat tidak lupa 6 Feb. 2009, untuk kita ingati inilah Pokok Demokrasi di mana sidang Bawah Pokok diadakan.

Monday, January 18, 2010

Komen Pemimpin

Tak ada banyak nak aku rakamkan di sini, cuma tertarik dengan komen-komen yang menggelikan hati tentang hadiah tahun baru (bukan baharu), lu pikirlah sendiri:-

"Tidak ada logiknya kerajaan keluarkan subsidi hampir RM1 billion setahun untuk subsidi satu bahan makanan yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat,"
- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak

"Jadi, kenaikan harga gula ini bukanlah satu bebanan tetapi untuk kebaikan kesihatan dan masa depan rakyat Malaysia,"
- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi. 17 Jan. 2010

Saturday, January 9, 2010

Kejutan 2010

Assalamualaikum wbt,.

مَثَلُ الْفَرِيقَيْنِ كَالأَعْمَى وَالأَصَمِّ وَالْبَصِيرِ وَالسَّمِيعِ هَلْ يَسْتَوِيَانِ مَثَلاً أَفَلاَ تَذَكَّرُونَ

maksudnya:-

Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?

(Al-Quran Ayat 24 Surah Hud)

Pembukaan Tahun 2010 rakyat dihadiahkan dengan kenaikan harga gula melambangkan benar BN bermaksud Barang Naik, biasalah apabila naik saja harga satu-satu barangan media pengampu mulalah perbodohkan rakyat dengan ulasan serta pendapat-pendapat orang awam menyokong contohnya "Kenaikan ini wajar kerana negara-negara jiran menjual dengan harga lebih mahal" dan banyak lagi ulasan pendapat yang menyokong, Manakala Pak Menteri pulak akan kata “Harga gula tempatan masih terendah di rantau ini” atau "Kerajaan dah banyak memberikan subsidi, rakyat perlu berterima kasih bla bla... (ulangi skrip-skrip yang dah boleh dihafal rakyat - Pandang Belakang).

Kemudian timbul pula penggunaan nama Allah, pelbagai pro dan kontra serta media juga kasi panas dengan kipas api nyala untuk melarisan akbar yang sudah tidak mendapat tempat dan diakui oleh NUJ. Apa tidaknya akbar kini jauh ketinggalan dari segenap segi ditambah dengan lapuran berat sebelah yang amat jelas seolah-olah rakyat marhaen tidak tahu berfikir. Juak-juak yang kononnya ingin membela Islam beraksi bagaikan hero tetapi semua orang tahu berpuluh tahun mereka ditampuk kuasa peraturan Allah tidak pula mereka pertahankan malahan dihina dan diperlekehkan.

Berita Antarabangsa antara yang mengejutkan ialah Pada hari Rabu yang lepas 06 Jan 2010, Bantuan dari convoy Viva Palestina 3 (yang bermaksud hidup Palestin) dengan penyertaan sebanyak 240 buah ambulan dan kenderaan membawa ubat-ubatan, makanan, permainan kanak-kanak dan peralatan sekolah Berjaya memasuki Gaza melalui Rafah di sempadan Mesir. Bagaimanapun Mesir mengenakan pelbagai syarat dan menyukarkan usaha untuk menyalurkan bantuan kepada saudara-saudara kita di Gaza. Bahkan tindakan zalim dan tidak berperi kemanusiaan Mesir itu hampir-hampir menggagalkan harapan untuk menyalurkan bantuan sejumlah 2 juta USD sumbangan dari warga dunia yang prihatin tanpa mengira bangsa dan agama.

Pagi 07 Jan 2010 Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaludin, MB Perak yang Sah, (ada yang tak sah dan HARAM ke?)telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di Bandaraya Ipoh dengan kereta yang dipandu oleh beliau sendiri kerana cuba mengelak sebuah kereta yang keluar dari Hotel Casuarina Ipoh dan akibatnya kereta beliau telah melanggar penghadang jalan dan terbalik. Beliau telah dirawat di unit kecemasan Hospital Besar Ipoh dan ditahan untuk rawatan rapi, Alhamdulillah beliau dalam keadaan baik Cuma mengalami luka-luka ringan.

Jumaat pula kita dikejutkan dengan tindakan golongan yang tidak bertamadun dengan melemparkan dan membakar empat buah Gereja diberitakan. Serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras dalam Islam jika mereka benar-benar memahami Al-Quran, agama Islam jelas menggesa umatnya untuk menghormati rumah peribadatan penganut agama lain. Manakala beberapa masjid (bukan unjuran pihak masjid) NGO-NGO mengadakan demo mempertahankan nama Allah (hukum Allah belum tentu), bagaimanapun tidak mendapat sambutan. Berlainan demo menghantar memorandum ke Kedutaan Mesir tanda bantahan penahanan serta sekatan yang dikenakan terhadap konvoy bantuan Viva Palestina di sempadan Gaza, ternyata jelas sokongan serta tujuannya walaupun digelapkan oleh media arus perdana yang mengampu dan penjilat.